Jumaat, 31 Oktober 2008

SEJARAH KAMPUNG

KAMPUNG SUNGAI PLONG

Menurut cerita, pada mulanya Kampung Sungai Plong ini merupakan kawasan hutan. Kampung ini kemudiannya telah dibuka oleh tiga orang peneroka awal berketurunan Jawa iaitu:-

(i) Wak Satro;
(ii) Wak Kastono (Tono); dan
(iii) Wak Sirat.
Ketiga-tiga mereka berasal atau datang dari Kepong, Selangor. Dengan kedatangan ketiga-tiga peneroka awal ini barulah tempat ini menjadi sebuah kawasan perkampungan. Selepas itu, terdapat juga peneroka-peneroka daripada suku kaum Melayu yang lain iaitu orang Kampar (Sumatera) dan Melaka yang datang ke kampung ini pada sekitar tahun 1916 .

Menurut cerita juga, asal nama Sungai Plong ini ada versinya yang tersendiri. Ada pendapat mengatakan bahawa oleh kerana kampung ini asalnya kawasan hutan rimba, maka banyak “polong” iaitu sejenis hantu syaitan yang suka merasuk orang dikawasan ini pada masa lalu. Hantu polong ini dikatakan suka bergayut dan berbuai di pokok besar menjelang waktu senja.Sebab itulah kawasan tersebut dinamakan Sungai Polong pada asalnya tetapi lama kelamaan dipanggil Sungai plong sahaja.
Versi kedua mengatakan bahawa, ketika zaman British dahulu jalan di Kampung Sungai Plong ialah tanah merah dan kampung ini merupakan pertengahan jalan daripada Kuala Lumpur ke Kuala Selangor. Di kawasan tepi jalan merah ini terdapat sebuah sungai yang sangat jernih dan sejuk airnya. Namun begitu, oleh kerana hakisan tanah, sungai ini telah menjadi semakin besar dan menghakis kawasan sekitarnya. Oleh itu Pegawai Daerah British pada ketika itu telah mengarahkan pembinaan palong yang merentasi sungai di kawasan ini bagi mengelakkan faktor hakisan daripada terus belaku. Semenjak itu kampung ini dinamakan Kampung Sungai Plong singkatan daripada Sungai Palong.
Kawasan di mana terbinanya palong air ini terletak berhampiran dengan Masjid Jamek Kampung Sungai Plong hari ini. Sebenarnya, masjid asal telah didirikan pada tahun 1920. Antara bangunan lama yang dibina dan masih terdapat di kampung ini ialah seperti Sekolah Kebangsaan Sungai Plong yang didirikan pada tahun 1927.

Dari segi lokasi, kampung-kampung yang berhampiran dengan Kampung Sungai Plong ialah:

(i) Kampung Paya Jaras;
(ii) Kampung Merbau Sempak;
(iii) Kampung Kubu Gajah; dan
(iv) Kampung Melayu Subang.

Kampung Sungai Plong juga istimewa kerana bersempadan dengan empat daerah. Ia terletak di antara Daerah Petaling dan Daerah Gombak. Selain itu ia juga terletak berhampiran dan bersempadan dengan Daerah Kuala selangor dan Daerah Hulu Selangor.

Dari segi generasi pemimpin di Kampung Sungai Plong, nama-nama Ketua Kampung yang boleh dikenali pasti ialah:-

(i) Tuan Haji Sulaiman bin Khatib (1920)
(ii) Encik Abdul Rahman
(iii) Encik Hurmin bin Haji Sulaiman
(iv) Encik Mohd Din bin Sedik
(v) Tuan Haji Hashim bin Md Dom PJK (1983 – 2001)
(vi) Encik Alias bin Haji Karim PJK (2001 – 2008)
(vii) Encik Mohd Yusoff bin Haji Ismail (2008 – kini)

Dari segi fizikal, keluasan kampung ini adalah 509 ekar. Pada sekitar tahun-tahun 1980 an hingga 1990 an, tanaman getah merupakan tanaman utama penduduk kampung ini. Keseluruhan penduduk kampung ini pula terdiri daripada orang Melayu berketurunan Jawa, Minang dan Melaka. Unsur kesenian tradisional yang masih dikekalkan di kampung ini adalah tarian Zapin. Di Kampung ini juga terdapat bangun lama peninggalan zaman British seperti Pejabat Penghulu Mukim dan bangunan Balai Polis Sungai Plong. Pada masa lalu kawasan kampung ini sering mengalami banjir apabila hujan lebat.

Slogan yang menjadi pegangan masyarakat kampung ini ialah
Adat Berkampung Hidup Bermuafakat’.

4 ulasan:

Azlan Ismun berkata...

https://plus.google.com/112613020223702409313

Unknown berkata...

https://www.facebook.com/profile.php?id=100014202660890

Unknown berkata...

Assalamualaikum....minta maaf ya, banyak fakta ta betul dan dan kurang tepat. Sila rujuk saya untuk maklumat lanjut. Terima kasih.
.

Unknown berkata...

Asal usul nama kampung sungai pelong?